Skip to content

Mesyuarat Agung Tahunan Persatuan Alumni IKIP Pahang 2023: Misi ke arah kecemerlangan dan kegemilangan

  • by

Pada 24 Disember 2023 yang lalu, Mesyuarat Agung Tahunan Persatuan Alumni IKIP Pahang telah berjaya dianjurkan melalui kerjasama Unit Hal Ehwal Perhubungan Alumni, UCYP University. Inisiatif ini berjaya mengumpulkan seramai 100 orang alumni dari pelbagai kursus dan tempoh tamat pengajian seawal tahun 1999. Penganjuran secara dalam talian, dilihat antara langkah yang efisien dalam memastikan para alumni mampu memberikan komitmen sepenuhnya bagi kelancaran mesyuarat.

Objektif utama penganjuran ini, adalah menetapkan jawatankuasa baharu untuk sesi 2024-2026 serta berkongsi pencapaian Persatuan Alumni sepanjang tahun sebelumnya. Proses pengundian telah dilaksanakan secara dalam talian selama tiga (3) hari sebelum mesyuarat bagi memastikan sesi pengundian mampu dijalankan secara optimum, telus dan berintegriti. Hasil keputusan undian telah menampilkan barisan jawatankuasa baharu yang mewakili pelbagai generasi dan peringkat umur. Secara tidak langsung ianya memberikan kepelbagaian dalam memastikan halatuju persatuan Alumni tercapai.

Mesyuarat Agung Tahunan Persatuan Alumni IKIP Pahang telah dirasmikan oleh Yang Hormat Profesor Dato’ Dr. Muhammad Fauzi Mohd Zain, Naib Canselor UCYP University. Dalam ucapan perasmian, beliau menyeru agar pihak Persatuan Alumni IKIP Pahang terus giat berganding bahu merealisasikan inisiatif yang dirancang demi mencapai misi dan visi persatuan dan institusi. Beliau menekankan pentingnya keterlibatan aktif alumni dalam pembangunan dan kemajuan institusi dan berharap  agar semangat kesetiaan dan kecintaan alumni terhadap alma mater terus berkobar, membawa impak positif kepada reputasi dan prestasi UCYP University. Selain itu, beliau mengajak semua alumni untuk terus menyumbangkan keahlian, pengalaman, dan kepakaran masing-masing demi menyokong pertumbuhan dan kejayaan institusi ke arah yang lebih cemerlang.

Majlis turut dihadiri oleh Yang Berbahagia Puan Suhaila Hj Mukhtar, Penolong Naib Canselor (Penjenamaan, Komunikasi dan Diplomasi Korporat) barisan Pengurusan UCYP University dan Jawatankuasa Persatuan Alumni IKIP Pahang 2021-2023.

Sekalung penghargaan juga kepada barisan Ahli Jawatankuasa Persatuan Alumni IKIP Pahang bagi sesi 2021 – 2023 yang diketuai oleh Yang Berbahagia Encik Shah AsrolAfendy bin Shamsul Hanifa, Presiden Persatuan Alumni IKIP Pahang bersama barisan ahli jawatankuasa atas sumbangan dan khidmat bakti sepanjang dua (2) tahun ini. 

Semoga jaringan kerjasama antara Unit Hal Ehwal Perhubungan Alumni UCYP University dan Persatuan Alumni IKIP Pahang dapat terus memberi manfaat kepada alma mater yang disayangi, UCYP University.

Barisan Ahli Jawatankuasa Persatuan Alumni IKIP Pahang bagi sesi 2021 - 2023 dan
Unit Hal Ehwal Perhubungan Alumni, UCYP University
Barisan lantikan baharu bagi Ahli Jawatankuasa Persatuan Alumni IKIP Pahang
bagi sesi 2024 – 2026
Antara alumni yang hadir ke Mesyuarat Agung Tahunan 2023
Persatuan Alumni IKIP Pahang