Skip to content

Mengembalikan Kenangan bersama Alumni menerusi Majlis Minum Petang, Alumni & Alma Mater: Melangkah ke Hadapan

  • by

Pada 13 Mei 2023, Jabatan Penjenamaan, Komunikasi & Diplomasi Korporat UCYP melalui Unit Hal Ehwal Perhubungan Alumni (Alumni Relation Affairs – ARA) serta Persatuan Alumni IKIP Pahang telah berjaya menganjurkan Majlis Minum Petang, Alumni & Alma Mater: Melangkah ke Hadapan. Majlis yang diadakan di Dewan Aqua Crystal, Kampus Utama UCYP, telah dihadiri hampir 120 orang tetamu, yang terdiri daripada alumni dari tahun 1999 hingga tahun 2022.  Alumni yang hadir ini terdiri daripada pelajar lulusan Institusi Ikhtisas Kemajuan Pahang (IKIP), Kolej Antarabangsa IKIP Pahang, Kolej Yayasan Pahang, University College of Yayasan Pahang (UCYP) serta Kolej Yayasan Pahang. 

Inisiatif penganjuran majlis minum petang ini, bertujuan untuk mengeratkan hubungan dalam kalangan alumni di samping memperkasakan jaringan antara institusi pengajian dan bekas pelajar. Di samping menghidupkan kembali momen-momen berharga sepanjang pengajian mereka serta mengeratkan hubungan di antara alumni, objektif utama yang ingin dicapai melalui penganjuran majlis ini adalah untuk menanam rasa kecintaan di kalangan para alumni terhadap universiti dan kolej mereka. Antaranya ialah para alumni digalakkan untuk menyumbang kembali kepada institusi, dalam memastikan kelestarian institusi ini untuk jangka masa yang panjang serta bagi perkembangan institusi ini.

Majlis ini menjadi lebih istimewa dengan kehadiran Yang Hormat Profesor Emeritus Dato’ Dr. Ahmad bin Haji Zainuddin, Naib Canselor UCYP dan Tuan Yusof Bin Kassim, Timbalan Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Pahang (Sektor Pembangunan Murid) Alumni IKIP-UPM. Presiden Alumni IKIP Pahang, Saudara Shah Asrolafendy Bin Shamsul Hanifa, dalam ucapannya telah menekankan keperluan untuk semua Alumni UCYP/KYP untuk bersama-sama bersatu hati untuk kembali menabur bakti di UCYP/KYP. Sesungguhnya, alumni bukan sahaja signifikan dalam menggambarkan kejayaan dan keberhasilan universiti sebaliknya turut menjadi kayu ukur kepada  ikatan antara alumni dan universiti. 

Dalam pada itu, Yang Hormat Profesor Emeritus Dato’ Dr. Ahmad bin Haji Zainuddin, Naib Canselor UCYP, menerusi ucapannya amat berbesar hati atas kesudian para alumni untuk hadir memeriahkan majlis minum petang ini. Ia diibaratkan sebagai ‘homecoming’ alumni ke alma mater. Menurut beliau, IKIP telah berkembang pesat dan sedang dalam usaha untuk mendapat penarafan sebagai salah sebuah universiti penuh di Negeri Pahang. Pelbagai anugerah dan pengiktirafan telah dicapai oleh UCYP termasuklah Anugerah AIGA dan pelbagai pengiktirafan dari dalam dan luar negara. Yang Hormat Professor Emeritus Dato’ Dr. Ahmad bin Haji Zainuddin turut mengucapkan terima kasih dan menjemput semua alumni IKIP UCYP/KYP untuk bersama-sama mendoakan kesejahteraan dan kejayaan alma mater ini agar terus berjaya dan berkembang pesat seiring dengan pembangunan dunia.

Majlis ini telah menerima sambutan yang baik di kalangan alumni di mana  kesemua alumni yang hadir menyatakan kegembiraan apabila dapat berkumpul semula dengan rakan-rakan lama mereka. Mereka juga berharap melalui perancangan yang telah diatur oleh Persatuan Alumni IKIP Pahang, ianya mampu menghidupkan semula kenangan indah di kampus dan mengeratkan hubungan silaturahim yang telah terjalin selama bertahun-tahun. Semoga majlis ini dapat memberikan kenangan yang indah dan mendorong semangat persatuan di kalangan alumni dan UCYP untuk terus melangkah ke hadapan bersama-sama.

Para alumni yang hadir memeriahkan Majlis Minum Petang, Alumni & Alma Mater: Melangkah Ke Hadapan 2023

Ketibaan Tetamu Kehormat, Yang Hormat Profesor Emeritus Dato’ Dr Ahmad Bin Haji Zainuddin, Naib Canselor UCYP dan Tuan Yusof Bin Kassim, Timbalan Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Pahang (Sektor Pembangunan Murid) Alumni IKIP-UPM.

Barisan Ahli Jawatankuasa Majlis Minum Petang, Alumni & Alma Mater; Melangkah Ke Hadapan 2023 dan Unit Hal Ehwal Perhubungan Alumni (Alumni Relation Affairs), UCYP dan Alumni UCYP/KYP yang kini merupakan kakitangan UCYP/KYP.